Rabu, April 16, 2025

Derma Darah Bilangan Pertama 2025

Jadikan sebagai aktiviti rutin.
Assalamualaikum dan selamat pagi. Awal pagi tadi sempat melayari beberapa catatan pada blog-blog yang diikuti. Entah macam mana terbaca catatan berkaitan derma darah di sini. Teringat pula yang selepas masuk kerja dari cuti raya tempoh hari ada menderma darah lantaran teringin pula membuat catatan berkenaannya di sini.

Sebenarnya dalam satu tahun seorang yang selalu menderma darah pun biasanya dua atau tiga kali sahaja dapat menderma. Antara sebabnya orang yang baru balik dari luar negara perlu tunggu dahulu sebulan walaupun dari segi masanya dah boleh menderma. Dari segi masa seorang boleh menderma setiap tiga bulan. Satu lagi bulan puasa, selalunya orang kurang semangat nak derma darah di bulan puasa. Mungkin takut ada masalah apa-apa atau mungkin bulan puasa ni agak suntuk masanya dan perlu sedikit sebanyak kurangkan aktiviti. Jika seseorang menderma di bulan puasa kira hebatlah, masa baca catatan rakan blogger tu baru tahu ada juga pusat derma darah yang buka waktu malam. Bagus juga pendekatan tu kerana biasa pusat derma ni di dalam hospital dan waktu bekerja memang paling  masalah sekali ialah isu parking kereta di hospital. Kadang tu orang jadi malas nak menderma kerana masalah parking. Apapun biasanya ada juga disediakan parking untuk penderma cuma bila kena nasib tak baik kenalah juga cari parking jauh dan berisiko kena saman.

Bila aku tengok semula buku derma darah aku, baru penuh satu muka surat iaitu 15 kali derma. Sikitlah tu berbanding suami rakan blogger tu dah dekat 40 kali. Apa pun sebolehnya sementara masih layak untuk menderma ni bantulah. Perasan bulan puasa dan lepas raya stok darah amat kurang. Ada juga aku share panggilan derma darah dari Hospital Pulau Pinang di laman fb.

Rabu, April 09, 2025

Selamat Menyambut Aidil Fitri 1446H

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri diucapkan kepada semua. Baru dapat semangat untuk membuat catatan selepas hari raya. Catatan ini bolehlah dikatakan bersambungan dengan catatan perjalanan balik kampung pada catatan sebelum ini. Sangkaan kami yang jalan akan jem pada hari Ahad sebelum raya itu agak meleset kerana perjalanan dari KL ke Temerloh lancar. Rupanya orang dah ramai balik pada hari Sabtu. Legalah pemandu. Tahun ini raya pertama bersama keluarga puan isteri di Temerloh, kami berkumpul bersama 7 keluarga adik-beradik isteri di Hotel Seri Malaysia. Malam akhir berbuka atau malam raya ada majlis pemberian duit raya kepada anak-anak buah yang belum bekerja. Ini motivasi buat mereka supaya tidak cepat-cepat nak bekerja Hahaha. 

Solat hari raya kami di Masjid Abu Bakar, sebuah masjid yang pernah juga aku kunjungi di zaman aku bersekolah di Jerantut, siapa sangka dapat kembali semula ke masjid ini. Ingat kalau lain kali hari raya di Temerloh nak solat hari raya di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (masjid baru Temerloh). Selesai solat kami ke kubur dan ziarah beberapa rumah di sekitar Temerloh dan Bera. Keesokan hari ni kami sambung beraya di Mentakab dan terus ke Negeri sembilan untuk beraya dan ziarah di rumah ibu saudara di sebelah aku pula di Kuala Kelawang dan Juasseh. Di Negeri Sembilan perjalanannya agak mencabar kerana sesak di sana sini sampaikan terpaksa ikut jalan alternatif yang sangat sempit jalannya, melalui celah-celah kampung dan hutan, naik bukit turun bukit melalui anak sungai baru dapat jumpa jalan keluar ke highway untuk bermalam di Gombak selama beberapa hari. Di Gombak kami juga ziarah ke beberapa rumah dan ada juga menerima kunjungan.

Hari Jumaat kami balik ke Penang, disebabkan hari Jumaat kami singgah Solat Jumaat di Masjid Negeri Perak. Cantik rupanya Masjid Negeri Perak ni cuma yang agak peliknya orang tak ramai. Mungkin sebab pejabat-pejabat kerajaan masih belum ramai yang bekerja. Nak cari kedai makan pun susah di musim raya. Selamat kembali kepada firtah, semoga amalan kita sepanjang bulan Ramadan diterima sepenuhnya. Nanti kami singgah beraya diblog kalian pula, jangan lupa tinggalkan jejak

Ahad, Mac 30, 2025

Balik Kampung Cyberjaya dan Gombak

Pasar Ramadan Kg Baru. 
Assalamualaikum dan selamat pagi. Lama rasanya tidak membuat catatan di blog ini. Siri catatan travelog Balkan 2015 dan catatan Tadabbur Al-Quran juga seperti terhenti seketika kerana fokus yang berlainan di bulan Ramadan. Tak mengapakan kerana ada juga rakan blogger lain turut peram catatan sampai makan tahun 😅. 

Perjalanan semalam lancar kecuali di beberapa tempat. Cuma semasa memandu mengantuk betul rasa sampaikan terpaksa berhenti dahulu di R&R Simpang Pulai arah ke selatan untuk tidur sebentar. Tak sangka pula betul-betul tidur. Campur rehat dah toilet break dalam sejam juga kami berehat di situ. Ramai bangsa Cina dan India turut ambil kesempatan bercuti, mungkin bercuti ke KL tu. Setelah itu baru segar dan perjalanan diteruskan. Oh ya kami dari Pulau Pinang menuju ke Gombak, sebelum ke Gombak perlu ke Cyberjaya dahulu untuk ambil kuih raya. 

Semasa dalam perjalanan ke Gombak melalui Jalan Tun Razak (jarang Maps nak suggest jalan ni tapi sebab ibukota dah lengang). Dalam pada itu aku terfikir untuk beli bubur lambuk Kg Baru. Teringin nak merasa. Dalam pada itu Pasar Ramadan Kg Baru baru nak buka, sempat juga membeli lauk masakan Negeri Sembilan, murtabak dan rojak. Sempat juga belikan air gas untuk rumah Gombak sedikit untuk persediaan raya. 

Malam tadi dapatlah berbuka sehari dengan Mak. Maghrib, Isyak dan Terawih akhir di Madrasah Al-Hilaliah. Semoga Allah menerima ibadah kita dan mengampunkan semua dosa-dosa kita. Perjalanan menyambut raya akan diteruskan lagi ke Temerloh sebentar lagi.