Sitemap

Sastera & Kita

4 min readAug 10, 2023

--

[ Artikel ini telah disiarkan di majalah Dewan Sastera edisi Februari 2019 ]

Muka depan majalah Dewan Sastera terbitan Februari 2019

“Suatu masyarakat paling primitif pun, misalnya di jantung Afrika sana, tak pernah duduk di bangku sekolah, tak pernah melihat kitab dalam hidupnya, tak kenal baca-tulis, masih dapat mencintai sastera, walau sastera lisan.

— Pramoedya Ananta Toer (Bumi Manusia, 1980)

Kata orang, sastera itu milik orang-orang membosankan yang hidupnya sekadar menghabiskan masa dengan tulisan-tulisan penulis mati, atau penulis hidup yang meraih royalti melebihi keupayaan sasterawan negara. Sastera itu juga dikatakan tidak punya masa depan oleh segelintir ahli politik hanya kerana ia tidak mampu menggerakkan mesin dengan kata-kata. Namun kata-kata selalu punya kuasa mengubah kepimpinan atau merosak kepimpinan. Hingga kini, Widji Thukul masih berada dalam status orang hilang kerana ditangkap oleh rejim Soeharto. Sungguhpun beliau tiada di depan mata masyarakat, namun tulisan beliau banyak menyedarkan masyarakat akan kezaliman pemerintah serta menggerakkan penggulingan Soeharto di Indonesia pada tahun 1998. Sastera adalah simbol keperibadian diri, sama ada untuk melawan kezaliman atau menyampaikan kebenaran. Sastera juga adalah mata pisau : membunuh dan memberi kehidupan. Membunuh, ertinya dijadikan alat atau ucapan retorik demi mendapatkan kuasa. Memberi kehidupan, ertinya digunakan ke arah kebaikan iaitu pesanan yang mulia untuk masyarakat. Walau apa pun definisi sastera itu, saya tumbuh dengan mencintai sastera melebihi apa-apa pun. Salah satunya kerana sastera punya kuasa untuk mendidik diri menjadi seorang yang punya prinsip : bersikap jujur pada diri sendiri. Sastera juga selalu ada jika diri termenung di permulaan pagi sambil jendela terbuka luas menghadap matahari.

Sejak kecil, kebanyakan daripada kita diajar untuk mencintai sastera seawal pengajaran ABC dan 123. Apabila kita tumbuh dewasa, diiringi oleh peralihan suasana menjadikan kita memandang sastera itu hanya sekadar tulisan kaku di buku. Pada hakikatnya, kehidupan seharian kita tidak dapat lari daripada sastera. Melihat filem, mendengar lagu semuanya merupakan proses penghayatan sastera secara minda bawah sedar. Seseorang yang mengatakan bahawa dia tidak mencintai sastera ternyata berbohong pada diri sendiri, kerana masyarakat moden yang mengasingkan diri daripada media adalah bukan manusia. Filem seperti Langit Petang (1982) yang diadaptasi daripada tulisan sasterawan A. Samad Said juga banyak bersikap jujur tentang realiti masyarakat tertindas dan menindas. Selain itu, terdapat berjuta lagi filem di dunia yang bukan sahaja membicarakan soal realiti, juga fantasi seperti Doctor Strange (2016). Tidak kisah apa pun pilihan kita, filem merupakan suatu cabang seni yang juga menyampaikan mesej tersendiri untuk kita hayati dan renungkan bersama. Lagu juga punya fungsi yang sama jika liriknya ditulis dalam bait-bait yang indah dan mengesankan. Hal ini boleh didapati oleh tulisan Yusnor Ef untuk “Lagu Peribahasa” yang dinyanyikan oleh penyanyi Sanisah Huri :

Get Irfan Shaharuddin’s stories in your inbox

Join Medium for free to get updates from this writer.

Dengar pepatah dulu-dulu,
Kini ku susun jadi lagu,
Inilah pusaka peribahasa,
Jangan dilupa setiap masa pusaka bangsa kita.

Jangan di ikut resmi lalang,
Tegak berdiri tiada guna,
Ikutlah saja resemi padi menunduk dan berisi.

Jangan diikut resmi ayam,
Telur sebiji riuh sekampung,
Ikutlah contoh resmi penyu,
Banyak bertelur tapi tak riuh.

Berhati-hati di air tenang,
Berhati-hati di air tenang di situ terdapat bahaya,
Tidak disangkah air yang tenang tapi ada buaya.

Ingatlah-ingat wahai teman,
Itulah peribahasa kita,
Yang ditinggalkan oleh orang tua dari zaman berzaman.

Album “Dari Jiwa Yang Tenang” (1979) yang menampilkan “Lagu Peribahasa”

Sastera membentuk peribadi serta jati diri. Perlambangan sastera juga menggambarkan sikap dan watak penulis, sama ada terpuji atau keji. Apa yang menjadikan Pramoedya Ananta Toer merupakan penulis besar Indonesia adalah kerana keberaniannya untuk melawan dan menegakkan kebenaran. Itulah yang membezakannya dengan penulis lain yang menulis untuk memenuhi keperluan budaya popular tanpa bersikap kritis dan peduli terhadap keadaan semasa masyarakat. Hal ini seharusnya diikuti oleh kebanyakan kita serta dihayati sepenuhnya. Jika masyarakat terlalu mengejar keperluan material dengan segala mesin moden, dikhuatiri kita akan hilang sifat kemanusiaan dan digantikan dengan sifat mementingkan diri sendiri. Hal ini berakar umbi daripada kerangka pemikiran kapitalisme dan konsumerisme. Kapitalisme menggalakkan manusia menghasilkan produk yang bukan sahaja membawa kemusnahan kepada pemikiran, malah melahirkan masyarakat industri yang dangkal sifat kemanusiaannya. Konsumerisme pula merupakan konsep yang menggalakkan manusia menjadi bangsa yang menggunakan produk kemajuan, tetapi tiada pengetahuan tentang falsafah di sebalik kemajuan. Konsep kapitalisme dan konsumerisme yang digandingkan bersama ini, dari suatu segi ada kebaikan untuk menggerakkan ekonomi. Namun kita harus selalu tahu bagaimana mengimbangkan sifat kemanusiaan melalui penghayatan sastera serta keperluan mempersiapkan diri dalam dunia moden yang selalu berubah.

--

--

Irfan Shaharuddin
Irfan Shaharuddin

Written by Irfan Shaharuddin

0 followers

Right to Information (RTI) Coordinator at Centre for Independent Journalism (CIJ), KL