Sitemap
Kucinghutan

Kucinghutan

Kebebasan Beragama Di Malaysia

4 min readSep 14, 2026
Press enter or click to view image in full size
Photo by Mubashir Ahmad on Unsplash

Sebagai undang-undang tertinggi bagi negara Malaysia, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukan agama Islam sebagai agama persekutuan di dalam Perkara 3.

3. Agama bagi Persekutuan

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama
lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana
bahagian Persekutuan.

Perhatikan, istilah yang digunakan dalam perlembagaan adalah “agama persekutuan” dan bukan “agama rasmi”. Namun penulisan ini bukan bertujuan untuk menyentuh perkara tersebut. (Baca di sini: https://www.utusan.com.my/berita/2025/08/islam-agama-persekutuan-bukan-agama-rasmi-haniff/)

Walaubagaimanapun, keadaan ini tidak bermaksud agama selain daripada Islam tidak boleh diamalkan di dalam negara ini. Perlembagaan Persekutuan juga ada memperuntukan berkenaan kebebasan beragama di dalam negara ini. Perkara yang menyentuh tentang hal tersebut adalah di dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

11. Kebebasan Beragama

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak —
(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan
mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau moraliti.

Bentuk Kebebasan

Berdasarkan peruntukan tersebut, apakah bentuk-bentuk kebebasan yang dimaksudkan menurut perkara ini?

Pertama, sebagaimana yang disebut dalam kurungan (1), ianya mudah untuk difahami iaitu setiap orang bebas untuk menganut dan mengamalkan agamanya. Tiada sesiapa boleh menghalang seseorang daripada mengamalkan agamanya. Sebagai contoh, seseorang yang ingin mengamalkan agama Islam atau Buddha atau Hindu, menurut Perlembagaan tiada siapa berhak untuk menghalangnya daripada mengamalkan agama dan kepercayaan tersebut.

Kedua, menurut kurungan (2), seseorang tidak boleh dipaksa untuk membayar sebarang cukai sekiranya hasil cukai tersebut digunakan untuk agama-agama lain daripada agama anutannya.

Get Kucinghutan’s stories in your inbox

Join Medium for free to get updates from this writer.

Ketiga, selain daripada sekadar menganut dan mengamalkan agama masing-masing, kurungan (3) memberikan hak kepada kumpulan agama untuk menguruskan hal ehwal agamanya, menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi yang membawa maksud keagamaan dan memperoleh dan menguruskan harta yang berkaitan dengan agama tersebut.

Kebebasan ini tidak mutlak

Walaubagaimanapun, perlu diingatkan dan ditekankan kebebasan ini bukanlah bersifat mutlak. Ini bermaksud kebebasan ini memiliki had-had dan batasan tertentu yang perlu dipatuhi. Had pertama adalah pengamalan agama tersebut tidak boleh menggugat sebarang ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak/moral [Perkara 11(5)]. Ia hendaklah diamalkan dengan aman dan damai [Perkara 3]. Sekiranya pengamalannya bertentangan dengan perkara di atas, pengamalan agama tersebut boleh disekat dan dihalang.

Had kedua, mana-mana agama selain agama Islam tidak boleh mengembangkan dan menyebarkan ajaran agamanya terhadap orang Islam di negara ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyebaran tersebut?

Secara amnya, undang-undang ini melarang perbuatan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang Islam untuk menukar agama mereka, mendekati dan menyebabkan seseorang Islam berucap atau mempamerkan apa-apa perkara berkaitan agama bukan Islam, menghantar, menyampaikan atau mengedarkan apa-apa penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada orang Islam.

Berdasarkan definisi ini, timbul persoalan seperti bagaimana pula sekiranya seseorang yang bukan Islam menjelaskan kepada orang Islam tentang agamanya tanpa berniat untuk menjadikan orang Islam tersebut keluar daripada agamanya? Adakah ini termasuk di dalam definisi menyebarkan ajaran agama bukan Islam yang boleh disekat? Selain itu, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan “doktrin” sebagaimana yang disebut di dalam Perkara 11(4) tersebut? Untuk melihat perbahasan yang lebih lanjut terhadap persoalan ini, ia boleh didapati di dalam artikel yang bertajuk “Propagation of Religious Doctrines To Muslims: A Legal Perspective” karangan Profesor Shamrahayu A. Aziz.

Di samping itu, sekatan terhadap penyebaran doktrin ini tidak hanya terbatas untuk orang bukan Islam sahaja. Sekatan ini juga terpakai untuk orang Islam sekiranya terdapat orang Islam yang bertindak menyebarkan apa-apa doktrin atau ajaran yang bertentangan dengan agama Islam.

Kesimpulannya, walaupun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan, agama lain masih mempunyai kebebasan untuk diamalkan tetapi kebebasan tersebut tidaklah mutlak dan tertakluk kepada syarat-syarat dan keadaan-keadaan tertentu.

Antara sumber rujukan

Mohamed Azam Mohamed Adil, “Hak Tukar Agama Dalam Perlembagaan Malaysia: Konflik Antara Kebebasan Beragama dan Hukum Islam.” (Jurnal Syariah, 2003).

Ahmad Munawar Ismail & Wan Kamal Mujani, “Hak Kebebasan Bersuara dalam Hak Kebebasan Beragama di Malaysia.” (Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah, 2020).

Shamrahayu Binti A.Aziz, “Propagation of Religious Doctrines To Muslims: A Legal Perspective.” (Malayan Law Journal, 2010).

Nazri Muslim & Ahmad Hidayat Buang, “Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif Hubungan Etnik di Malaysia” (Jurnal Kemanusiaan, 2017).

Abdul Aziz Bari, “Perlembagaan Malaysia: Asas-Asas dan Masalah”, Dewan Bahasa Dan Pustaka (Kuala Lumpur: Cetakan ke-5, 2013).

Tun Mohd. Salleh Abas, “Prinsip Perlembagaan & Pemerintahan Di Malaysia”, Dewan Bahasa Dan Pustaka (Kuala Lumpur: Cetakan ke-4, 2015).

Shamrahayu Binti A.Aziz, “Islam dalam Perlembagaan Persekutuan”, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Kuala Lumpur: Cetakan ke-2, 2019).

--

--