Sitemap

where the lights don’t reach

8 min readApr 6, 2026

Press enter or click to view image in full size
Part 2 of Ed-Shah

SELEPAS Maghrib, Shaheen dan Nis atur langkah ke perhentian bas untuk ke Dewan Tun Razak, dewan kedua terbesar selepas dewan utama universiti. Sudah menjadi kebiasaan, setiap bulan akan diadakan Noktura Session di mana beberapa band dan penyanyi tempatan dijemput untuk membuat persembahan. Selain itu, suasana turut dimeriahkan dengan jualan dan pameran oleh kelab-kelab pelajar yang mengambil peluang untuk mempromosikan aktiviti masing-masing.

Salah satu acara kegemaran residen Universiti Nusantara Malaya (UNMA) di malam minggu.

Ikutkan Shaheen bukan jenis yang gemar melibatkan diri dengan acara sosial sebegini. Dia lebih selesa terperuk di studio dan pecah kepala dengan lakaran yang belum siap. Namun, memandangkan dia sebilik dan berkawan rapat dengan Nis yang hampir setiap bulan setia turun menyokong, Shaheen mula mempersoalkan semula keputusan ujian personaliti MBTI yang pernah diambilnya sebelum ini. Mungkin I kini sudah menjadi E.

Tidak silap Shaheen, ini kali kedua SE menyertai Noktura Session di sini. Kali pertama bulan lepas, dia tidak berkesempatan menemani Nis kerana komitmen di studio sering kali berlarutan hingga lewat malam. Kali ini, dia sengaja melapangkan jadual.

Demi melihat Eddie.

Fikiran itu menyinggah sebelum dia sendiri senyum tipis. Bagaikan satu cabaran pula untuk dia cuba menarik perhatian Eddie.

Mereka berdua mengambil tempat di dalam dewan setelah membeli air di booth luar. Dewan kian dipenuhi oleh penonton. Sorakan bergema setiap kali kelibat kru lalu di hadapan pentas.

Acara dimulakan dengan laungan gemuruh dari hadirin apabila pengacara majlis memperkenalkan band pertama. Gitar elektrik memecah ruang bersama dentuman drum menyusup hingga ke dada. Shaheen menyandar sedikit pada kerusi lipat yang disusun rapat-rapat, cuba membiasakan diri dengan tenaga yang berlegar di sekeliling. Fuh, dia dapat rasa adrenaline di seluruh badan.

“SE bila?” tanya Shaheen pada Nis di sebelahnya. Dia tinggikan suara sedikit supaya tidak tenggelam dalam bunyi muzik.

“Second last rasanya. Shawn cakap dalam pukul 9.30 macam tu.”

Shaheen angguk perlahan.

“Tahulah nak tengok crush.” Nis senyum nakal. Tak sangka Shaheen betul-betul tekad untuk mencari teman lelaki.

“Diamlah,” balas Shaheen, namun tawa kecil mereka tetap terlepas juga.

Belum sempat Shaheen menikmati persembahan seterusnya, telefon di tangan bergetar tanda mesej masuk. Tak semena-mena dia putarkan mata melihat nama Sara di skrin. Jarinya laju membalas sehinggalah ayat Sara tentang dia berkira itu buat darah Shaheen terasa mendidih. Dia mula hilang fokus dan senyuman kian sirna. Dari rasa nak berseronok, terus potong mood.

Beberapa minit kemudian, nama mama pula tertera di skrin. Hatinya terdetik sesuatu yang kurang enak. Ini mesti Sara pergi mengadu dekat mama.

Dia buka mesej itu dengan perasaan bercampur baur. Baris-baris ayat yang muncul membuatkan bahunya menegang sedikit demi sedikit. Perkara yang sama berulang seperti kitaran yang dia sendiri tak tahu bila akan tamat.

Shaheen menarik nafas panjang sebelum membalas. Jari-jarinya menaip laju dan sedaya upaya dia memilih perkataan yang tidak berbunyi kasar. Dia susun ayat supaya kedengaran rasional walaupun Shaheen tahu dia berbunyi bagaikan sedang mementingkan diri sendiri. Tapi apa yang dia cakap juga, benda betul. Sara dah melampau sebab terlalu kerap meminta duit. Macamlah Shaheen tak tahu yang duit tu akan digunakan untuk perkara lagha.

Permintaan mama kedengaran lembut namun sarat dengan beban. Kononnya hujung bulan akan diganti. Jangan berkira dengan keluarga sendiri. Tch, Shaheen telan liur.

Telefon bergetar lagi.

Kali ini panggilan pula yang masuk.

Dia diam beberapa saat. Hanya memandang nama itu berkelip di skrin. Tak lama selepas itu, panggilan terhenti sendiri sebelum mesej lain pula masuk. Mama meminta dia untuk mengangkat telefon juga buatkan Shaheen jadi serba salah. Dadanya terasa sempit.

Nis yang perasan perubahan pada wajah rakannya itu menoleh. “Kenapa?”

“Mama aku call.”

“Oh. Jawab ajelah.”

Shaheen mengangguk malas meskipun dalam hatinya ada keengganan yang sukar dijelaskan. Dia tidak mahu nada suaranya nampak tak okey lalu bakal mengganggu suasana yang sepatutnya menyeronokkan buat mereka berdua.

Telefon bergetar lagi. Dan kali ini lebih lama — mendesak Shaheen untuk menjawab panggilan dari orang tuanya itu juga.

“Aku jawab kejap,” katanya perlahan kepada Nis. “Kau tengoklah dulu.”

Nis mengangkat ibu jari tanda faham.

Shaheen bangun dari tempat duduknya, menyelit keluar di celah-celah penonton yang masih asyik menonton persembahan. Di dalam dewan, muzik dan sorakan memenuhi ruang. Berbeza di luar pula, perbualan yang menunggu mungkin akan mengikis sedikit lagi sisa tenang yang cuba dipertahankan oleh Shaheen.

Dia atur langkah menuju ke pintu belakang dewan. Nafas dikumpul seketika sebelum menekan butang hijau.

“Hello, ma.”

“Kenapa lambat angkat?” Suara mama sedikit meninggi. Jelas ada getar yang menandakan wanita itu tidak puas hati.

“Kakak dekat dalam dewan tadi. Bising sangat. Tak dengar.”

“Bising macam mana pun kenalah angkat kalau mama call.”

Shaheen memejam mata sejenak. Dia tahu perbualan ini tidak akan jadi pendek.

“Kakak pinjamkan dulu dekat adik, nanti mama bayar balik bila dah gaji. “ Nada suara mama berubah lebih lembut dari tadi. Pesan itu diingatkan semula kepada Shaheen.

“Kereta dia buat hal tu kena masuk bengkel. Tak kesian dekat adik ke, kakak?”

Kakak lagi kesian dengan diri sendiri, ma. Bisik Shaheen, tak terluah untuk dia cakap pada mama.

“Bukan tak nak tolong, ma. Kakak baru je bagi dia duit last week. Ini mintak lagi. Mama asyik back up Sara aje.” Shaheen cuba memastikan suaranya mendatar dan tidak meninggi walaupun dadanya mula terasa sesak.

“Apa kakak cakap ni? Mama mintak tolong bagi duit dekat adik pun kakak berkira. Mama dah cakap, hujung bulan mama ganti. Akak bagi dulu.”

Perkataan ganti itu berlegar-legar di fikirannya. Berapa kali perkara yang sama diulang dengan janji yang serupa. Bukan mama tidak menunaikan janji, cuma selalunya ada perkara lain yang lebih mendesak dan akhirnya dia sendiri yang belajar untuk tidak bertanya lagi. Alih-alih nanti akan mengungkit semula segala benda yang pastinya Shaheen penat nak dengar.

“Kakak tak ada duit ma. Yang ada ni pun nak simpan untuk laptop baru. Laptop sekarang dah selalu hang. Tak sesuai untuk download semua program app yang kena ada. Projek banyak. Kalau rosak terus macam mana?”

“Boleh pakai lagi kan? Itulah, dulu mama suruh kamu sambung je masuk IPG, kakak tak nak. Sekarang course kakak banyak pakai duit. Tak pun, kakak gunalah laptop kawan dulu. Itu boleh tunggu. Adik tu dah menangis kereta tak boleh pakai.”

Nak pakai kereta sebab nak pergi berjoli je. Geramnya Shaheen! Lagi tambah sakit hati apabila mama acap kali mengungkit akan keengganannya dahulu dari menjadi guru.

Dia menundukkan wajah sambil pandang hujung kasutnya sendiri. Sedar akan nada suaranya yang mula bergetar lalu dia menarik nafas panjang sebelum menyambung.

“Semua benda tak boleh tunggu kalau pasal orang lain, ma. Bila pasal kakak, semua boleh tunggu, kan?”

Get deen’s stories in your inbox

Join Medium for free to get updates from this writer.

Sunyi beberapa saat di hujung talian.

“Mama minta tolong sikit je. Kalau akak tak tolong, siapa lagi?” Mama mengulang ayat yang sudah terlalu sebati dalam hidup Shaheen. Soalan itu seakan tergantung di antara mereka. Shaheen terasa sesuatu yang panas di belakang mata.

“Kenapa tak minta papa?” tanyanya perlahan. Sekali lagi dia ulang soalan itu walaupun sudah disebut di ruangan mesej tadi.

“Kan mama cakap, papa tak jawab mesej. Mama pun tak tahu dia dekat mana.” Jawapan itu datang bersama hela nafas panjang. Shaheen tergelak kecil tanpa sedar. Ketawa yang lebih kepada keletihan daripada rasa lucu.

“Memanglah. Dah tahu sengket pergi kahwin dua.” katanya hampir berbisik.

“Qurratu Shaheen!” Suara mama terus meninggi. Tak suka akan nada yang digunakan oleh anak sulungnya itu.

Sekilas, Shaheen jarakkan telefon dari telinga. Penat memikirkan duit sedangkan dia juga masih belajar. Penat menjadi orang yang sentiasa boleh diharapkan. Penat menanggung peranan yang tidak pernah dipilihnya secara rela.

Di kejauhan, sorakan kuat kedengaran dari dalam dewan menandakan lagu baru dimulakan. Kontras antara bunyi riang itu dengan perbualan di talian terasa hampir menyakitkan.

“Yalah, ma. Nanti kakak transfer.” Akhirnya Shaheen mengalah. Dia malas nak panjangkan cerita di atas talian. Separuh dirinya lagi turut rasa bersalah kalau bergaduh dengan mama. Jarak mereka sudahlah jauh. Kalau jadi apa-apa, Shaheen tak nak rasa menyesal.

“Terima kasih, kakak. Kakak je mama boleh harapkan.”

Kalimat itu menusuk lembut dada Shaheen sebelum talian dimatikan. Dia masih memegang telefon di tangan meski skrin kembali gelap memantulkan bayangnya sendiri yang kelihatan lesu. Dia memandang gadjet itu kosong buat beberapa saat — cuba mengumpulkan sisa emosi yang berterabur supaya tidak terkeluar dalam bentuk air mata.

Langkah pintu tandas belakang dewan tiba-tiba berbunyi. Spontan, Shaheen menoleh.

Eddie keluar sambil mengelap tangan dengan tisu bersama wajah tenang. Lampu kalimantang di atas kepala memantulkan bayang sosok itu yang membuatkan garis rahangnya kelihatan terletak elok. Dia tidak nampak terkejut melihat Shaheen di situ, sebaliknya hanya berhenti seketika apabila mata mereka bertembung.

Dalam detik yang sangat singkat itu, Shaheen yakin yang… Eddie dengar.

Berapa banyak, Shaheen tak pasti. Namun jarak lorong yang sempit dan suara mama yang meninggi tadi sudah cukup untuk membuatkan kesimpulan itu terasa munasabah.

Jantungnya kembali berdegup. Rasa malu mula menjalar ke pipi.

Dalam masa yang sama, satu refleks pantas mengambil alih. Seperti menukar topeng dalam satu hembusan nafas, Shaheej membetulkan bajunya dan memaksa senyum agar menghiasi wajah.

“Eh, Eddie!”

Nada suara Shaheen berubah menjadi riang bagaikan perbualan tadi tidak pernah berlaku.

Eddie mengangguk kecil. “Hai.”

Shaheen mengangkat telefon sedikit. “Ambil angin kejap. Dalam tu panas.”

“Yeah, ramai orang kan?” balas Eddie ringkas.

“Biasalah Noktura,” katanya sambil ketawa kecil. “Kalau tak sesak memang bukan Noktura namanya. Awak ingat saya kan? Saya Shah.”

Eddie memandangnya beberapa saat persis menilai perubahan nada yang terlalu pantas itu. Wajah itu tetap nampak tenang.

“Ingat. How’s the show?” soalnya pada Shaheen. Dan itu buat Shaheen rasa nak meloncat. Biar betul Eddie sambung perbualan mereka? Tak macam dalam DM.

“Okeylah. Power semua. Tapi saya tunggu SE je sebenarnya,” ujar Shaheen tanpa berfikir panjang. Dia berpura-pura ketawa kecil, cuba menutup rasa malu sendiri.

“Saya tahu second last kan?” tambah Shaheen apabila Eddie masih jumud pada tempatnya.

“Ya. Lagi dua band.” Eddie menyelitkan tangan ke dalam poket seluar. Dia tak tahu kenapa dia masih berdiri di sini sementelah boleh saja dia abaikan kewujudan Shaheen di situ.

“Pressure tak?” tanya Shaheen lagi, masih bersama pesona cerianya. “Second last biasanya crowd dah penat atau lagi menggila.”

“Kena biasakan,” jawab Eddie pendek. Bandnya jarang-jarang dapat spotlight jadi apabila jadi antara yang ditunggu-tunggu, pastinya dia gembira.

Pantas Shaheen mengangguk, kemudian mengangkat kedua-dua ibu jarinya. “Good. Saya dah ready nak bagi standing ovation.”

Eddie hanya tergelak kecil dengan respon yang diberi oleh gadis itu. Di tempat Shaheen pula, dia memerhati wajah Eddie sejenak. Cuba mencari sebarang tanda sama ada lelaki itu terdengar perbualan tadi. Moga-moga Eddie lupakan saja andai kata dia memang terdengar.

Jeda. Suasana kembali terasa janggal. Shaheen nampak Eddie menggosok belakang kepala seperti dia mahu tinggalkan tempat itu cuma tak sampai hati apabila dirinya masih tercegat di situ.

“Nak masuk dah ke? Pergilah.” Shaheen lunjur kedua-dia tangan ke arah dewan. Tahu benar Eddie sepatutnya perlu bersiap sedia untuk persembahannya.

“Hah, ya. By the way yang pasal awak cakap haritu. Nak tengok layout kafe…”

Kening Shaheen automatik terangkat. Terasa degupan kecil dalam dada. Dia cuba kekalkan riak wajah santai.

“Saya jarang buka DM sebenarnya. Kalau nak datang, better terus WhatsApp.” Eddie menyambung dengan tenang. Dia capai sesuatu dari dalam jaket baju dan beri kad namanya pada Shaheen.

Sontak, Shaheen kedip mata beberapa kali. Tak sangka begini caranya dia dapat nombor Eddie. Senyuman sedaya upaya ditahan dari terlancar jelas.

“Oh.” Shaheen cuba kedengaran neutral sambil menyambut pemberian Eddie. “Okey… nombor kafe ke ni?”

“Ini nombor saya. Awak kawan Nis. Nis pun dah kira kawan saya. So, maybe it’s better for us to exchange number. Apa-apa hal nanti senang.”

Shaheen terkebil sedikit. Tangannya cepat-cepat membuka ruangan ‘New Contact’. Jari-jarinya jadi sejuk walaupun malam itu terasa sedikit berbahang dari kebiasaan. Dia ulang nombor yang diberi untuk pastikan ianya betul. Eddie sekadar mengangguk.

“Weekdays pagi kurang orang. Lagi senang awak nak tengok.”

“Terima kasih, Eddie. Jumpa nanti. Okeylah, saya masuk dulu. Nanti terlepas pula,” ujar Shaheen sambil menunjuk ke arah pintu dewan. Tak betah lagi kalau dia berdiri lama lagi di situ. Takut Eddie nampak pipinya dah mula memerah bak tomato.

Eddie laju menggerakkan kepala tanda setuju. “Masuklah. Dah mula lagu baru tu.”

Lalu Shaheen melangkah melepasinya, namun sebelum sempat dia menambah lagi jarak mereka, suara Eddie menyusul perlahan.

“Shaheen.”

Shaheen berpaling.

Eddie terdiam beberapa detik. Seolah-olah sedang menimbang tara sesuatu di dalam kepala.

“Kalau… apa-apa, jangan berdiri lama dekat sini. Lorong ni gelap,” pesan Eddie dengan senyum ringkas tanda prihatin sebelum turut menghilangkan diri ke belakang dewan.