Genap 7 tahun. Allahuakbar!

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Sudah sebulan enam hari permata hati mama tinggalkan mama. 8 Mei itulah tarikh yang seakan merentap jantung mama sayang. Kalau hendak diceritakan satu persatu detik perjalanan terakhirmu, pasti air mata ini tidak mahu berhenti dan merembes laju.

Baru hari ini mama punya kekuatan untuk menulis di laman blog ceritahaziq. Mengenang kembali saat-saat kau masih dalam pelukan mama, air mata ini terasa begitu murah. Hari ini air mata mama mengalir lagi. Dada ini sesak lagi. Gara-gara satu aplikasi. Aplikasi itulah yang mendorong mama untuk menulis di laman blogmu ini sayang.

Mama terlihat satu aplikasi di facebook yang menawarkan aplikasi menukarkan tarikh Masihi ke tahun Hijrah. Mama tergerak untuk mencuba aplikasi tersebut. Setiapa tarikh lahir ahli keluarga kita mama cuba dapatkan tarikh dalam tahun hijrah termasuk Haziq. Mama cuba pula dengan tarikh pemergian Haziq dan pada waktu itulah mama terpempan. Terkedu. Terkesima. Sebak. Nafas seakan tersekat. Allahuakbar! Subhanallah! Hanya itu yang mampu mulut mama ucapkan berkali-kali…

Tarikh kelahiran Aiman Haziq

Tarikh kelahiran Aiman Haziq

Tarikh Aiman Haziq pergi..

Tarikh Aiman Haziq pergi..

Genap 7 tahun mengikut tahun Hijrah! Aiman Haziq pergi tepat usianya 7 tahun pada 20 Rejab. Hanya hari yang berbeza. Perginya pada hari yang sungguh mulia. Penghulu segala hari. Speechless! Mama tak tahu apa yang ada dalam hati mama ketika tulisan ini mama coretkan. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui segala rahsia di sebalik kejadian.

Mama masih belum mampu menuliskan apa sebenarnya yang berlaku pada hari itu. Semuanya berlaku terlalu pantas. Terlalu cepat. Masih terasa seakan mimpi. Namun mahu bercerita tentangnya, mama belum cukup kuat. Meskipun mama telah cuba menulis, namun mama masih belum mampu menoktahkannya. InsyaAllah apabila tiba masanya, mama akan terus menulis dan menoktahkannya. Ada kalanya seakan tidak mahu mempercayai namun janji Allah itu benar bahawa setiap makhluk itu pasti merasai mati.

Beruntung Aiman Haziq….beruntung sangat kamu sayang…kamu sedang berbahagia di alam sana. Kamu sedang berlari riang di sana duhai anak. Tiada lagi kesakitan. Tiada lagi tangis dan air matamu yang dapat mama lapkan. Tiada lagi senyum manja dan tawa riang yang dapat mama tatap dan dengar. Tiada lagi rengek manjamu bagaikan memahami apa yang mama ungkapkan. Tiada lagi semua itu. Yang tinggal hanyalah kenangan yang terpahat kukuh di sanubari.

Selamat jalan sayang…

Mak sentap nak!!

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua…

Empat bulan bersawang betul laman ceritahaziq ni…

Sebenarnya tak tahu apa yang mahu dikongsikan kerana perkembangan Aiman Haziq masih seperti biasa. Tidaklah apa yang boleh membuatkan mata mama ni terbuntang besar ataupun mama nak kena buat aksi lompat bintang sampai cecah dinding. Hodoh nak….Namun hari demi hari masih ada perkembangan positif yang dapat mama perhatikan. Biarpun kecil dan mungkin taklah beerti mana bagi orang lain yang mengganggap itu perkembangan biasa anak tipikal, bagi mama ianya tetap suatu pencapaian yang membuatkan keterujaan itu membuak-buak.

Cuma kali ini mama nak kongsikan kisah ‘kesentapan’ mama dengan kenyataan seorang kawan yang telahpun mama kongsikan di dinding facebook mama. Ada ke dia kata jangan jadikan anak sebagai alasan untuk tak bergerak…tak buat apa-apa! Waktu tu memang terdiam gilerlah mama. Darah naik atas muka. Kalau siapa perasan mesti nampak muka mama yang berubah. Nak aje mama balas kata-katanya. Tak terucap. Dada rasa nak pecah. Marah? Bukan marah tapi waktu itu mama rasa dia tak patut keluarkan kenyataan macam tu sebab dia tak ada dalam kondisi mama!

Ya…mama akui anak tu tak boleh dijadikan alasan kalau kita nak berjaya. Betul…tak salah kenyataan dia. Tapi dia tengok ke tidak anak macam mana yang mama punya. Kalau anak-anak mama semuanya tipikal, mama angkat topi setuju 100 % dengan kenyataanya tetapi cubalah duduk sehari dalam kasut mama. The way dia punya expression dan riak muka yang mama memang tak boleh nak tahan. Akhirnya pada orang lain mama menangis dan curahkan apa yang selama ni terpendam. Apa yang mama rasa, apa yang sedang mama lalui.

Betul…selama ni orang pandang dan anggap mama sebagai seorang yang periang, selalu tersenyum seolah tak ada sebarang masalah atau cabaran yang sedang dihadapi. Tapi itu tidaklah bermakna orang boleh samakan kedudukan kita dengan mereka. Setiap anak istimewa itu sangat unik dan tidak boleh dibanding-bandingkan. Kenapa? Pertama, boleh merudumkan emosi parent. Kedua…setiap perkembangan, progress anak-anak ini tidak sama walaupun mungkin duduk bawah payung terma yang sama. Tak perlu tengok jauh-jauh…cara bagi makan Haziq mungkin tak sama dengan anak CP lain, belum lagi cara nak mandikan. Cara rawatannya…apa terapi yang perlu dilakukan untuk perkembangannya…semuanya berbeza. Meskipun mama ni cubalah bertahan dengan macam-macam cakap dari mulut-mulut yang tak tahu pun apa itu cerebral palsy, tiba pada suatu masa mama rasa mereka ini perlu disedarkan. Kadang-kadang dalam hati tu terdetik jugalah nak pinjamkan Aiman Haziq pada orang-orang yang pandai bercakap ni…Bagi mereka rasa dan peluang untuk menguruskan anak-anak CP. Tak perlu berikan masa yang lama. Bagi sehari cukuplah. Biar mereka sama-sama berkongsi rasa. Tak cukup sehari kita extendkan seminggu. Kotlah ada yang tak puas nak uruskan anak-anak CP. Adalah juga masa untuk mama dengan ayah rehat, pergi honeymoon ke..kan…

Jadi kalau tak ada anak macam Aiman Haziq, sebelum nak bercakap tu molek sangatlah berfikir-fikir dulu. Luka hati kalau dah tercalar…lambat sikitlah nak baiknya kan…Bukan tak boleh baik…boleh…hati tisu mama ni cepat je boleh bertukar jadi hati kering…Kita ni bukanlah jenis tak boleh dengar nasihat ke apa, tapi the way kita menegur seseorang tu kita kena perhatikan dulu baik-baik orang yang kita nak tegur tu macam mana karekternya. Silap-silap tegur boleh putus kawan! Bak kata orang dulu-dulu, kita nak tarik rambut dalam tepung kan..kalau boleh kita tarik rambut tu sebaik dan seperlahan mungkin supaya tepung yang ada tu tak berselerak. Win-win situation kalau kata orang Jawa….tepung tak rosak, rambut yang mengacau tepung tu pun dapat dialihkan. Kan…..

Alhamdulillah, selepas dengar kata-kata sentap tu, mama dapat lepaskan apa yang selama ni tertahan atas bahu mama.  Lega! Kali terakhir mama menangis rasanya waktu mama hampir kehilangan Aiman Haziq ketika serangan sawan paling teruk pada tahun 2008. Selepas tu mama tekad dalam hati taknak tunjukkan emosi mama depan orang lain. Mama lebih suka orang lihat mama macam biasa, macam tak ada apa-apa sebab sebenarnya ia boleh juga jadi motivasi untuk mama supaya tak terlalu memikirkan semua masalah yang datang tu sebagai beban, sebaliknya cabaran yang kena cari jalan penyelesaiannya di mana dan bagaimana. Mama berjaya namun selepas hampir 7 tahun, akhirnya air mata itu tak dapat lagi mama bendung. Akhirnya pecah juga kolam air mata mama.

Subhanalllah, selepas menangis, ada rasa lega. Sentap pun kurang. Hari ini rasanya sentap tu dah tak ada dah…hilang dari hari ke hari sebab mama taknak jadikan ianya penghalang untuk menyekat apa yang sedang mama usahakan. Cuma apa yang mama nak ingatkan untuk diri mama sendiri, kalau kita nak tegur orang, kalau kita nak nasihat orang…pastikan kita gunakan ayat yang sesuai dengan keadaan/ karekter dan bentuk penerimaan daripada orang yang kita nak tegur. Terima segala pro dan kontra setiap tindakan kita. Terlajak perahu masih sempat kita undur, terlajak kata ada hati yang terluka, susah nak dapatkan semula kepercayaan melainkan kita benar-benar sesali apa yang kita lakukan dan mendapat kemaafan.

Semoga kita semua dapat menjaga lidah kita daripada berkata yang sia-sia dan mendapat perlindungan Allah saban waktu sehingga ke syurga-Nya.