Wednesday, 6 May 2026

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Catatan hari Sabtu, 2 Mei 2026.

Saya suka bila Encik Suami ada urusan di sekitar KL dan kami menginap di The Everly, Putrajaya. Penginapan yang selesa, lokasi berhampiran kompleks beli-belah Alamanda dan taman rekreasi Jejak Sisiran 1 - juga dikenali sebagai Putrajaya City Trail.

Pagi hari Sabtu, Encik Suami keluar selesaikan urusannya dan saya pula keluar beriadah di laluan Jejak Sisiran 1. Kali ini saya dah bersedia dengan pakaian bersesuaian termasuk kasut joging. Saya berazam nak brisk walk (berjalan dengan cepat), bukan berjalan santai (sekejap berhenti belek tumbuhan, sekejap lagi berhenti memotret itu ini 😄) seperti kali pertama ke sini dulu - entrinya DI SINI.

Tiap kali nampak sesuatu yang menarik, saya ingatkan diri sendiri jangan berhenti untuk memotret. Sehinggalah tiba di kawasan santuari spesis burung air, ada seekor burung bangau bersaiz besar dengan warna yang menarik berada tak jauh dari kedudukan saya.

Seperti sengaja mahu dirinya menjadi sasaran lensa kamera saya, burung ini tak segera terbang. Burung daripada keluarga Burung Bangau (Heron) ini berjalan ke sana ke sini memberi peluang kepada saya memotretnya dari beberapa sudut.

Inilah hasilnya…

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Masya Allah…cantik sangat!

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Burung ini dikenali sebagai Painted Stork.

Nama Inggeris : Painted Stork
Nama saintifik : Mycteria leucocephala
Nama Melayu : Upih Sawah / Botak Padi

Ciri-ciri Painted Stork :
  • Kaki panjang berwarna merah jambu.
  • Bulu badan warna putih dengan corak hitam di bahagian sayap.
  • Paruh panjang warna kuning terang.
  • Bulu berwarna merah jambu di bahagian belakang.

Puas memotret, langkah kaki diteruskan. Saya berjalan melewati bawah Jambatan Seri Bakti dan seterusnya menghampiri Masjid Putra - masjid dengan kubah berwarna pink.

Nampak kubah cantik warna merah jambu di atas sana? Saya tak naik atas pun, melangkah lebih kurang suku anak tangga je lepas tu berpatah balik. Semangat sangat naik atas, nanti sendiri yang tanggung penat nak patah balik ke hotel 😅

Alhamdulillah…dapatlah saya beriadah sejauh 5.19 km. Jarang-jarang ya saya dapat pergi jauh begini. Seronok betul dapat beriadah di taman yang dijaga rapi dan lengkap kemudahan. Pakai pula kasut yang bersesuaian, kaki rasa selesa walau dah berjalan jauh. Bukanlah tak rasa penat kaki, tapi tidaklah teruk sangat rasanya.

Ada rezeki menginap di The Everly, bolehlah saya brisk walk lagi di sini.







Thursday, 30 April 2026

Berkayak di Tasik Temenggor, Gerik

Entri terakhir catatan percutian di Belum Rainforest Resort, Gerik, Perak.

Bila dapat tahu di sini ada menawarkan aktiviti berkayak, saya jadi teringin mencuba berkayak di Tasik Temenggor - tasik kedua terbesar di Semenanjung Malaysia.

Seingat saya, kali terakhir saya berkayak pada usia awal 20-an iaitu ketika mengunjungi Pulau Pangkor bersama kawan-kawan UPM (Universiti Putra Malaysia). Sekarang usia saya menghampiri separuh abad 😅

Jeti Belum Rainforest Resort Gerik Perak
Jeti di Belum Rainforest Resort. Lokasinya terletak tak jauh dari penginapan kami.

Jeti Belum Rainforest Resort Gerik Perak
Pintu pagar jeti bertutup, hanya akan dibuka jika ada staf bertugas. Kami sudah pun membuat tempahan awal (hari sebelumnya) untuk slot pukul 10 pagi.

Kalau ikutkan kami nak lebih awal untuk mengelak cuaca panas, tapi tak ada slot awal pagi. Ini pun kena menunggu hampir 30 minit dari masa dijanjikan, barulah staf muncul. Katanya tak cukup staf pagi ni. 

Jeti Belum Rainforest Resort Gerik Perak
Belum Rainforest Resort Malaysia - Your Gateway To Nature.

Berkayak di Tasik Temenggor Gerik
Rupa bentuknya berbeza dengan kayak yang pernah saya naik - ada tempat duduk yang agak selesa dan kaki perlu masuk ke dalam (ruang tertutup).

Carian saya mendapati, ini merupakan sit-on-top tandem kayak iaitu jenis tempat duduk terbuka. Kayak begini lebih stabil, tetapi membuat saya rasa cepat lenguh pada belakang badan dan paha (uhh...baru tahu ejaan yang betul bagi ‘peha’ adalah paha).

Berkayak di Tasik Temenggor Gerik
Memulakan aktiviti berkayak dengan perasaan teruja dan juga berdebar. Mau tak berdebar, rasa dekat sungguh saya dengan air tasik ni. Penakut tapi nak berkayak 😄

Paling penting, jangan lupa mohon perlindungan Allah dengan membaca :
 بِسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ 
Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah.
Berkayak di Tasik Temenggor Gerik
Saya berkayak tak membawa telefon. Staf perempuan bernama Umi baik hati tolong pegangkan telefon saya dan tolong ambilkan foto/video kami.

Berkayak berdua perlu serentak kayuhan kanan-kiri. Mula-mula je kami kayuh bersama, selepas itu kami sepakat bergilir mengayuh - tujuannya supaya pergerakan kayak tak terlalu laju dan dapatlah bergilir menikmati suasana tanpa perlu mengayuh pendayung. Tak pastilah betul ke tak cara begini, hentam sajalah 😆

Berkayak di Tasik Temenggor Gerik
Bila semakin jauh berkayak, perasaan takut semakin berkurangan. Rasa seronok berkayak, jadi leka menghayun pendayung sambil menikmati pemandangan alam luas terbentang.

Permukaan tasik lebih tenang berbanding di lautan, sesuailah untuk orang yang tak biasa berkayak macam kami ni. Cuma sesekali ada bot laju lalu, rasa cuak jugalah bila kayak teroleng-oleng. Walaupun jarak kayak kami dengan bot tu jauh, tapi ombak yang terhasil tetap memberi kesan kepada kami.

Berkayak di Tasik Temenggor Gerik
Hasil foto zoom-out lensa telefon Encik Suami. Masa ini saya sedang berkayuh membawa kayak menghampiri Jambatan Barat Tasik Temenggor. Kita bebas berkayak ke mana saja tetapi dilarang melepasi jambatan ini.

Berkayak di Tasik Temenggor Gerik
Di hadapan saya itulah Belum Rainforest Resort yang terletak di Pulau Banding.

Awalnya hanya kami berdua saja yang berkayak. Kemudian ada pengunjung yang nampak kami dan terdengar kata-kata mereka “Eh…boleh berkayaklah!”, selepas itu bertambahlah geng kayak. Satu, dua dan seterusnya ada lebih kurang lima buah kayak menyertai kami. Jadi bertambah meriah!

Cukup masa 1 jam, kami kembali ke jeti. Mujurlah cuma ambil 1 jam, walaupun seronok berkayak tapi terasa lenguh belakang badan saya disebabkan tempat bersandarnya kecil - hampir tiada penyandar. Bila dah berehat di bilik, barulah terasa lenguh bahagian lengan pula. Yelah, tadi beria mengayuh pendayung. Beginilah bila dah berumur dan kurang bersenam tapi masih ada keinginan nak buat aktiviti luar 😅

Kalau kalian berminat nak berkayak di sini, terdapat dua pilihan jenis kayak - Single Seater RM50/kayak dan Double Seater RM100/kayak.







Monday, 27 April 2026

Catatan Hujung Minggu | 25 - 26 April 2026

Hujung minggu kali ini tidak terlalu sibuk, tapi ada jugalah buat urusan di sana sini. Pagi hari Sabtu, saya dan Encik Suami ke Sungai Petani, Kedah selesaikan urusan di sana. Petangnya dalam perjalanan balik, kami singgah di Alor Setar.

Kami beli rak besi bertingkat heavy duty di Mega Rack Alor Setar. Harganya berbeza ikut ukuran panjang/lebar/tinggi rak dan jenis papan (chipboard atau plywood). Pilihan kami harganya RM291 untuk satu rak. Beli dua rak terus supaya muat susun barang hobi Encik Suami yang semakin bertambah 😇

Lepas tu kami singgah makan nasi ayam di Ahmad Foo Chicken Duck Rice. Ada satu lagi cawangan restoran di Sungai Petani yang lebih elok dan selesa, tapi entah kenapa saya rasa lebih sedap rasa makanan di sini. Jadinya kalau nak makan nasi ayam/itik Ahmad Foo, kami memilih makan di Alor Setar.

Kali ni kami pilih duduk di bahagian luar kedai - ruang di antara dua bangunan. Cuaca sesuai - redup dan tak rasa bahang panas.

Cendol Ahmad Foo Chicken Duck Rice Alor Setar
Cendol kegemaran saya - cendol biasa.

Hari Ahad pukul 11 pagi, hantar Jojo si anak jantan ke Klinik Haiwan DrVET Arau untuk appointment grooming. Sama macam sebelum ni, kami pilih pakej Platinum - mandian, potong kuku, trim bulu tapak kaki, cuci telinga, nyah gris dan Advocate (kutu, hama, cacing & kurap). Kali ini harga dah naik - sebelum ni RM70, sekarang jadi RM85.

Minta check juga luka di badan Jojo sebab malam sebelum tu Jojo balik rumah dengan darah segar di bahagian muka, kepala dan tangan (kaki depan tu kami panggil tangan). Keluar rumah cuma sejam lebih, sempat dia berlawan dengan haiwan apa entah. Kami bersihkan darah dan sapu ubat luka jenis gel yang doktor bagi sebelum ni. Alhamdulillah cuma luka ringan dan Jojo aktif seperti biasa - saya risau kalau dia berlawan dengan ular berbisa.

Lepas hantar Jojo, kami pergi makan dan membeli barang dapur di Kangar. Petangnya pukul 5 datang kembali ke klinik untuk ambil Jojo.

Eh…tau-tau dah habis hujung minggu.








Friday, 24 April 2026

Aktiviti Sepanjang Menginap di Belum Rainforest Resort, Gerik

Sebelum meneruskan catatan kembara di Bumi Haramain, saya selesaikan dulu catatan percutian di Belum Rainforest Resort.

Berikut merupakan aktiviti yang kita boleh lakukan sepanjang menginap di sini :

⏵ EKSPLORASI SEKITAR KAWASAN PENGINAPAN
Belum Rainforest Resort, Gerik
Kawasan resort luas dengan bentuk muka bumi berbukit. Terasa penat jugalah tapi seronok dapat memerhati dan menikmati keindahan lanskap di sini.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Jalan-jalan menikmati keindahan tasik dengan air berwarna kehijauan.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Aktiviti kegemaran saya - memotret flora.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Perhatikan juga di atas pokok ya 😁


⏵ MORNING WALK
Belum Rainforest Resort, Gerik
Jalan-jalan menikmati suasana pagi di sini.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Pemandangan sekitar pukul 7.10 pagi.


⏵ AKTIVITI LAIN YANG TIDAK BERBAYAR
Belum Rainforest Resort, Gerik
Lawatan ke Rumah Temenggor. Rumah ini terletak berhampiran Hornbill Restaurant. Bolehlah masuk untuk menyaksikan rupa rumah kampung dan selitan sejarah laluan Timut-Barat.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Mini gimnasium di ruang terbuka. Lokasinya di rooftop penginapan Chengal.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Bersebelahan dengan ruang legar terdapat kaunter yang menempatkan Recreational Centre, welcome drink dan jualan makanan ringan/makanan segera. Di sini juga tersedia dua buah meja dengan beberapa permainan seperti papan catur.

Welcome drink yang sedap! Kali pertama merasa minuman ni ketika kami baru tiba untuk mendaftar masuk.

Belajar main catur dengan Encik Suami sambil menikmati minuman, tapi yang mengajar pun dah lama tak main - dah tak ingat sangat 😆

Terdapat satu lagi Game Centre yang terletak di bangunan penginapan Chengal - berhampiran tangga menuju ke restoran. Selain itu ada juga Reading Area dan kita boleh lakukan aktiviti mencerap bintang (stargazing) di rooftop penginapan Chengal.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Paling menarik - rainforest infinity pool.

Saya tak pandai berenang, masuk kolam renang cuma untuk bermain air dan duduk di hujung kolam sambil menikmati panorama alam.


⏵ AKTIVITI BERBAYAR
Kadar caj aktiviti bermula dari RM15/seorang.

Klik foto untuk paparan lebih jelas.

Tujuan kami ke sini hanya untuk bersantai dan berehat dalam suasana alam semula jadi, tak bercadang nak buat aktiviti merentas hutan selama berjam-jam yang memerlukan banyak tenaga. Saya cuma berhasrat nak buat aktiviti Night Trekking, tapi nampaknya tak ada rezeki - laluan hutan untuk Night Trekking masih dalam proses penyelenggaraan.

Sebagai ganti, kami buat aktiviti Elephant Spotting. Aktiviti ini dibuat pada waktu malam. Kami berdua bersama dua orang pelancong tempatan menaiki sebuah van pelancong yang dipandu melalui jalan utama dan masuk ke beberapa laluan kecil.

Sekali lagi, bukan rezeki kami - kumpulan kami gagal menemukan kelibat gajah. Rasa sedikit kecewa tapi memang dah sedia maklum aktiviti Elephant Spotting tak semestinya akan dapat nampak gajah. Bila difikir semula, takut juga kan kalau betul-betul jumpa gajah liar depan mata. 

Najis gajah di Lebuhraya Timur Barat
Foto najis gajah yang kami temui pada siang hari, masa ni saya dan Encik Suami keluar dari resort - memandu ke arah Jeli kemudian berpatah balik. Nak patah balik kenalah masuk laluan kecil yang ada di tepi jalan, jumpalah dengan longgokan najis ni. Fuh, mujur tak jumpa tuan punya najis 😅

Dalam kawasan resort, terdapat sebuah jeti tempat bermulanya aktiviti air. Pilihan aktiviti air - bamboo rafting, stand up paddle board dan kayak. Teringin pula nak cuba berkayak di Tasik Temenggor, jadi masa hari pertama tiba tu kami terus buat tempahan slot kayak untuk pagi hari kedua. InsyaAllah catatan aktiviti berkayak dalam entri khusus.

Banyak aktiviti yang boleh kita lakukan jika berkunjung ke Belum Rainforest Resort ni. Perlu rancang awal kerana aktiviti seperti fishing trip dan jungle trekking tu kita kena bawa keperluan sendiri. Juga lebih bagus jika kita buat tempahan awal aktiviti tersebut bagi memastikan semuanya berjalan lancar.







Monday, 20 April 2026

Kembara 8 Hari 7 Malam di Bumi Haramain


Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi

Alhamdulillah saya dan Encik Suami selamat kembali ke tanah air setelah 8 hari 7 malam berada di Bumi Haramain - dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah. Walaupun singkat masanya, saya bersyukur dikurniakan rezeki menjadi tetamu-Nya dan menunaikan umrah buat kali pertama.


RINGKASAN PERJALANAN

Hari Pertama | Selasa, 7 April 2026
  • 3.05 petang waktu Malaysia - pesawat Malaysia Airlines (MAS) berlepas dari KLIA menuju ke Jeddah, Arab Saudi.
  • Niat umrah sebelum/ketika pesawat melalui miqat Qarnul Manazil.
  • 7 malam waktu tempatan (Arab Saudi 5 jam lewat dari Malaysia) - tiba di King Abdulaziz International Airport, Jeddah. Naik bas ke hotel penginapan di Mekah.
  • 11 malam - masuk bilik penginapan di Safwah Royal Orchid Hotel.
  • 11.45 malam - berkumpul di lobi hotel untuk ke Masjidil Haram.

Hari Kedua | Rabu, 8 April 2026
  • 12.30 pagi - mula tawaf, seterusnya saie dan tahallul.
  • 2.50 pagi - selesai ibadah umrah.
  • Tawaf sunat sebelum/selepas solat Zohor.
  • Selepas solat Asar, sesi post-mortem umrah di Elaf Hotel.

Hari Ketiga | Khamis, 9 April 2026
  • 7-10 pagi - trip ziarah luar kota Mekah.

Hari Keempat | Jumaat, 10 April 2026
  • Selepas solat Asar, sesi taklimat perjalanan ke Madinah di Elaf Hotel.
  • 5.20 petang - bergerak ke Hira Cultural District untuk ke Muzium Wahyu.
  • 9.15 malam - makan nasi unta.

Hari Kelima | Sabtu, 11 April 2026
  • Selepas solat Subuh, buat tawaf wada.
  • 8.40 pagi - berkumpul di lobi hotel kemudian naik bas depan Olayan Hotel.
  • 10.10 pagi - bas bergerak menuju ke Madinah.
  • 12.30 tengah hari - berhenti makan dan solat di hentian.
  • 4 petang - tiba di kota Madinah.
  • 4.40 petang - masuk bilik penginapan di Dar Al-Naem Hotel.

Hari Keenam | Ahad, 12 April 2026
  • 7-10 pagi - ziarah sekitar Masjid Nabawi.
  • Lepas solat Zohor, slot masuk Raudhah bagi lelaki.
  • 9.30 malam - slot masuk Raudhah bagi perempuan.

Hari Ketujuh | Isnin, 13 April 2026
  • 7-11 pagi - trip ziarah luar Madinah.
  • Selepas solat Asar, sesi taklimat perjalanan balik Malaysia di Dallah Hotel.

Hari Kelapan | Selasa, 14 April 2026
  • Selepas solat Subuh, buat ziarah wada.
  • 10.40 pagi - bas bergerak ke lapangan terbang.
  • 5.30 petang - pesawat MAS berlepas dari Prince Mohammad Bin Abdulaziz International Airport menuju ke Malaysia.

Selamat mendarat di KLIA pada hari Rabu, 15 April 2026 pukul 7.05 pagi waktu Malaysia. 

***

RINGKASAN PENGALAMAN

‘Jet Lag’ | Ini merupakan pengalaman pertama saya berada dalam penerbangan bagi tempoh masa panjang iaitu kira-kira 9 jam dengan perbezaan waktu di antara Malaysia dan Arab Saudi selama 5 jam. Badan rasa letih, kepala terasa berat dan mata asyik mengantuk selama beberapa hari selepas tiba di Tanah Suci.

Kaabah Sedang Diselenggara | Ketika kami tiba, kaabah sedang diselenggara (bermula pada 6 April 2026) sebagai persediaan musim haji. Penghadang dipasang keliling kaabah dan kelihatan para petugas tekun bekerja. Satu pengalaman unik dapat menyaksikan kaabah dalam rupa berbeza - kain Kaabah (Kiswah) diangkat menampakkan susunan bata asli.

Melakukan Tawaf di Tiga Aras Berbeza | Mataf bermaksud tempat tawaf iaitu dataran sekeliling Kaabah. Tawaf umrah dilakukan di mataf aras bawah (dataran paling dekat dengan Kaabah). Manakala bagi tawaf sunat saya lakukan di mataf aras 1 dan mataf rooftop. Setiap aras memberikan pengalaman, pemandangan dan suasana berbeza.

Waktu Paling Kurang Jemaah Umrah | Saya dapat tahu, situasi di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ketika saya berada di sana - tidaklah sesak seperti selalunya. Ia mungkin disebabkan musim haji semakin hampir dan juga faktor konflik Asia Barat.

Musim Sejuk Yang Panjang | Cuaca nyaman dengan suhu serendah 19 darjah Celsius. Matahari memancar garang pada siang hari tetapi udaranya sejuk. Udara terasa lebih sejuk ketika saya berada di Madinah. Menurut pembantu mutawwif (pelajar Universiti Madinah), musim sejuk kali ini panjang berbanding biasa. Memang selesa seharian tanpa berpeluh, cuma kesannya saya menghadapi masalah kulit kering dan mengelupas disebabkan cuaca sejuk dan kering.

Interaksi Dengan Jemaah dari Pelbagai Negara | Interaksi berlaku biasanya ketika saya menunggu waktu solat di masjid - ada ketika saya yang memulakan perbualan dan ada ketika jemaah di sebelah yang menyapa terlebih dahulu. Di tempat wuduk juga boleh jadi ruang interaksi. Sempatlah saya berbual ringkas dengan jemaah dari India, Pakistan dan Amerika Syarikat. Saya juga dapat oleh-oleh pek makanan segera pemberian jemaah Pakistan. Jemaah dari Turki pula tak boleh berbahasa Inggeris, jadinya kami bercakap ‘bahasa ayam-itik’. Lucunya, kami masih saling faham isi penting perbualan.

Bukan Semua Manusia di Tanah Suci Adalah Suci | Tanah Suci merupakan tempat suci umat Islam, tetapi manusia yang hadir tetap dengan perangainya sendiri. Ketika kami selesai melakukan umrah dan sedang dalam perjalanan keluar dari laluan saie, seorang lelaki mendekati Encik Suami - memulakan perbualan tentang Malaysia kemudian mula menceritakan kisah sedihnya. Pendek kata, dia mahukan duit.

Penggunaan Bahasa Melayu/Indonesia | Bermula dengan petugas di kaunter imigresen, petugas di masjid dan para peniaga, rata-rata boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu/Indonesia. Kadang-kala kedengaran lucu perkataan yang dituturkan, namun masih boleh difahami.

Umrah Adalah Ujian dan Latihan | Kembara ke Bumi Haramain bukanlah satu percutian di mana kita boleh bersantai dan bersenang-senang. Ia suatu perjalanan ibadah yang menguji mental, fizikal dan emosi. Perjalanan yang melelahkan serta kurang selesa, penatnya kaki melangkah melakukan tawaf-saie-solat di masjid dan menghadapi ragam manusia yang datang dari pelbagai negara. Kembara istimewa ini juga adalah ujian kejujuran dan latihan disiplin. Tanpa ada sesiapa yang memberi arahan serta memantau - kita melakukan tawaf sebanyak 7 pusingan, menjaga pantang larang ihram dan bersiap sedia setiap kali masuknya waktu solat.


Catatan kembara saya di Bumi Haramain ini bukanlah untuk berbangga atau menunjuk dalam melakukan ibadah, tetapi ia sekadar catatan kenangan dan perkongsian pengalaman.

InsyaAllah catatan lanjut bakal menyusul.








Monday, 6 April 2026

Rain Lily Rosea Pink Berbunga Lebat!

Sebelum ini saya tanam pokok rain lily id Rosea Pink dalam pasu kecil. Jadinya bila berbunga tidaklah nampak meriah - setakat beberapa kuntum je. Beberapa bulan lepas, saya minta Encik Suami pindahkan semuanya tanam dalam bekas lebih besar dan letak di sudut laluan menuju ke rumah.

Sesekali saya letak baja, kerja menyiram pula dilakukan secara bersama - kadang saya siram, kadang Encik Suami.

Lama-kelamaan pokok rain lily membiak memenuhi bekas tanaman, tapi masih tak berbunga. Sehinggalah turun hujan lebat mengakhiri kemarau panjang di tempat kami, beberapa hari selepas itu muncul kudup bunga.

Kelmarin 4 April, bunga rain lily Rosea Pink sudah pun berkembang sepenuhnya. Seronok sungguh tengok rain lily berbunga lebat! Hati saya ikut berbunga-bunga setiap kali memandang luar rumah nampak bunga pink.

Rain Lily Rosea Pink

Rain Lily Rosea Pink

Rain Lily Rosea Pink

Rain Lily Rosea Pink

Alhamdulillah. Terima kasih Allah 🥰







Sunday, 5 April 2026

Pemergian Anak Saudara Sulung

 

Kira-kira pukul 7.10 pagi tadi ketika saya baru memulakan aktiviti morning walk, telefon di tangan saya berbunyi. Tertera di skrin nama abang sulung saya, yang juga satu-satunya saudara lelaki daripada sembilan beradik. Terdengar suaranya bergetar menyampaikan khabar duka.

Inna lillah wa inna ilayhi roji’un

Izam - anak saudara sulung iaitu anak pertama abang saya telah kembali ke pangkuan Ilahi ketika dalam tidur. AllahuAkbar 🥺. Perginya dalam usia 35 tahun, meninggalkan seorang isteri yang baru setahun lebih mereka mendirikan rumah tangga.

Menangis dan jadi termenung saya pagi tadi dengan khabar yang mengejutkan. Kali terakhir saya berjumpa dengan Izam dan isterinya pada 1 Februari lalu, ketika itu kami balik kampung dan kebetulan mereka berdua datang menziarahi mak saya (nenek mereka).

Itulah pertemuan terakhir kami, balik raya baru-baru ini saya tak berkesempatan bertemu mereka. Hari ini saya telah kehilangan seorang daripada 30 orang anak saudara 😢

Ya Allah, ampunilah segala dosanya dan rahmatilah rohnya.
Kurniakanlah kekuatan jiwa buat isteri yang ditinggalkan.




 

Thursday, 2 April 2026

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik

Sambungan catatan percutian di Belum Rainforest Resort, Gerik pada pertengahan Februari lalu.

Terdapat sebuah restoran di Belum Rainforest Resort, iaitu Hornbill Restaurant. Di restoran inilah kami menikmati hidangan sarapan, makan tengah hari dan makan malam sepanjang tiga hari dua malam menginap di sini.

Penginapan kami sudah temasuk bufet sarapan untuk dua orang. Hidangan makan tengah hari dan makan malam pula terdapat pilihan bufet atau ala carte, bayaran dibuat selepas makan. Kami buat pesanan ala carte, lebih sesuai untuk kami.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Pandangan hadapan Hornbill Restaurant.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Ruang dalam restoran - santai dan selesa.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Antara pilihan menu ditawarkan. Klik foto untuk paparan lebih jelas.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Menurut saya, harganya tidak begitu mahal walaupun ini merupakan restoran di sebuah resort bertaraf empat bintang.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Pilihan minuman dan pemanis mulut.

Antara hidangan yang sempat kami cuba di restoran ini :

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Mi goreng mamak.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Sup cendawan dan roti.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Sup ayam. Setiap hirupan terasa segar.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Kepak ayam goreng.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Chicken grill.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Creme brulee.

Agak mengejutkan juga, hidangan yang kami cuba semuanya sedap sesuai dengan selera kami. Jadinya tidaklah rasa bosan walau berkali-kali makan di tempat yang sama. 

Hidangan bufet sarapan pula nampaknya sama je menu sepanjang dua hari kami bersarapan di sini. Jadi agak kurang rasa teruja sebab tak begitu banyak menu nak dicuba.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Tarikan di sini - nasi lemak bungkus daun pisang.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Hidangan sarapan kami.

Hornbill Restaurant, Belum Rainforest Resort, Gerik
Satu lagi yang menarik di sini - kita boleh buat sendiri minuman jus buah. Ada disediakan mesin jus buah juga pilihan buah oren dan epal. Nampaknya banyak sambutan, sentiasa ada je orang sedang buat jus buah.

Saya jangkakan akan turun berat badan sebab sepanjang menginap di sini kami perlu berjalan kaki di permukaan berbukit juga mendaki anak tangga untuk ke mana-mana. Tapi nampaknya dek kerana makanan sedap, saya betul-betul menikmati percutian di sini dengan bersantai dan makan-makan - kesannya berat makin naik 😆

Restoran ini boleh dikunjungi semua, bukan untuk mereka yang menginap di resort je. Jadinya kalau kalian ada melalui jalan Gerik-Jeli bolehlah singgah menikmati hidangan di Hornbill Restaurant - tempat makan yang selesa, makanan yang memenuhi selera dan layanan staf yang mesra.