Catatan hari Sabtu, 2 Mei 2026.
Saya suka bila Encik Suami ada urusan di sekitar KL dan kami menginap di The Everly, Putrajaya. Penginapan yang selesa, lokasi berhampiran kompleks beli-belah Alamanda dan taman rekreasi Jejak Sisiran 1 - juga dikenali sebagai Putrajaya City Trail.
Pagi hari Sabtu, Encik Suami keluar selesaikan urusannya dan saya pula keluar beriadah di laluan Jejak Sisiran 1. Kali ini saya dah bersedia dengan pakaian bersesuaian termasuk kasut joging. Saya berazam nak brisk walk (berjalan dengan cepat), bukan berjalan santai (sekejap berhenti belek tumbuhan, sekejap lagi berhenti memotret itu ini 😄) seperti kali pertama ke sini dulu - entrinya DI SINI.
Tiap kali nampak sesuatu yang menarik, saya ingatkan diri sendiri jangan berhenti untuk memotret. Sehinggalah tiba di kawasan santuari spesis burung air, ada seekor burung bangau bersaiz besar dengan warna yang menarik berada tak jauh dari kedudukan saya.
Seperti sengaja mahu dirinya menjadi sasaran lensa kamera saya, burung ini tak segera terbang. Burung daripada keluarga Burung Bangau (Heron) ini berjalan ke sana ke sini memberi peluang kepada saya memotretnya dari beberapa sudut.
Inilah hasilnya…
Masya Allah…cantik sangat!
Burung ini dikenali sebagai Painted Stork.
Nama Inggeris : Painted Stork
Nama saintifik : Mycteria leucocephala
Nama Melayu : Upih Sawah / Botak Padi
Ciri-ciri Painted Stork :
- Kaki panjang berwarna merah jambu.
- Bulu badan warna putih dengan corak hitam di bahagian sayap.
- Paruh panjang warna kuning terang.
- Bulu berwarna merah jambu di bahagian belakang.
Puas memotret, langkah kaki diteruskan. Saya berjalan melewati bawah Jambatan Seri Bakti dan seterusnya menghampiri Masjid Putra - masjid dengan kubah berwarna pink.
Nampak kubah cantik warna merah jambu di atas sana? Saya tak naik atas pun, melangkah lebih kurang suku anak tangga je lepas tu berpatah balik. Semangat sangat naik atas, nanti sendiri yang tanggung penat nak patah balik ke hotel 😅
Alhamdulillah…dapatlah saya beriadah sejauh 5.19 km. Jarang-jarang ya saya dapat pergi jauh begini. Seronok betul dapat beriadah di taman yang dijaga rapi dan lengkap kemudahan. Pakai pula kasut yang bersesuaian, kaki rasa selesa walau dah berjalan jauh. Bukanlah tak rasa penat kaki, tapi tidaklah teruk sangat rasanya.
Ada rezeki menginap di The Everly, bolehlah saya brisk walk lagi di sini.





































